Thursday, 27 November 2014

Gejala sosial kian menjadi-jadi dalam kalangan remaja

Gejala sosial yang melibatkan golongan remaja bukan sahaja menimpa remaja kelas bawahan, malahan membabitkan kelompok remaja kelas menengah dan atasan. Pada umumnya, gejala ini timbul kerana golongan remaja tidak mempunyai tempat mengadu dan tidak diurus dengan saksama lagi bijaksana.


 Sesetengah ibu bapa harus mengakui bahawa mereka tidak mempunyai kemahiran dalam mendidik anak-anak. Kemahiran mengasuh meliputi kefahaman terhadap jiwa remaja, menangani kesihatan mental dan emosi anak-anak muda serta penguasaan terhadap perkembangan terkini. Mereka perlu dididik bahawa jiwa remaja kini tidak sama dengan jiwa mereka sewaktu remaja. Interaksi dengan anak-anak tidak lagi bersifat sehala. Pandangan bahawa `ibu dan bapa kemudian anak-anak’ tidak lagi terpakai. Sebaliknya ibu bapa perlu memahirkan diri menjadi `rakan anak-anak’. Kemahiran mendengar dan berbincang dengan anak-anak perlu dipupuk. Konsep membuat keputusan untuk anak remaja juga tidak lagi boleh diamalkan. Sebaliknya gaya berbincang nyata lebih berkesan.

Ibu bapa harus peka dan membantu remaja dalam memahami perubahan fizikal dan seksual mereka. Mereka perlu dibantu apabila terdapat ledakan kebolehan intelektual. Perubahan tersebut mendorong remaja membebaskan diri daripada kongkongan ibu bapa dan sebaliknya mereka mahu membina jati din sendiri. Pendidikan daripada alam kanak-kanak kepada remaja menjadikan emosi dan psikologi mereka mulai bebas. Jika ibu bapa masih mengamalkan konsep melindungi dan bukannya tempat meluahkan masalah, remaja akan kelihatan bermusuh dengan ibu bapa kerana jiwa mereka tidak difahami. 
Guru di sekolah pula bukanlah sekadar pembimbing akademik, tetapi harus menjadi rakan kepada remaja. Guru yang diingati oleh remaja ialah guru yang boleh dibawa berbincang dan sama-sama menyelesaikan masalahnya. Guru yang hanya memerintah akan diingati sebagai `pemerintah’ dan tidak didekati. Hasilnya, arahan akademik bukan sahaja tidak dipatuhi, bahkan mewujudkan pemberontakan antara pelajar dengan gurunya. Ini pula akan menyebabkan pelajar tidak mempunyai minat terhadap proses pembelajaran.
Pihak berkuasa pula tidak boleh mengharapkan remaja menjauhi kehidupan bebas dan liar, tetapi pada masa yang sama turut menyediakan ruang untuk perkara seperti minuman arak, seks bebas dan penagihan pil ecstacy berlaku dengan mudah. Persekitaran tidak sihat hares dibanteras, seiring dengan usaha pembentukan remaja itu sendiri. Gejala remaja gemar menonton video lucah misalnya, tidak boleh dituding semata-mata kepada ibu bapa dan guru. Dalam hal ini, adakah ibu bapa dan guru hares disalahkan, sedangkan bahan untuk tontotan lucah berlambak bebas di pasaran tanpa kawalan?

Media pula mesti mengawal penyiaran secara eksklusif dan besar-besaran tentang keruntuhan akhlak remaja tanpa membantu untuk mengawalnya. Sebaliknya remaja yang berjaya mesti sering ditonjolkan di media massa sebagai motivasi untuk diteladani. Hal-hal mengenai kreativiti remaja mesti sering diperbanyak berbanding liputan mengenai aksi dan perangai negatif mereka.
Sesungguhnya, pelbagai gejala negatif berleluasa di kalangan remaja hari ini. Oleh itu, semua pihak perlu bekerjasama membanteras fenomena ini agar tidak timbul masalah sosioekonomi yang lebih serius.

Shisha membahayakan kesihatan

Ingatlah, benda yang haram tetap haram.  Perkara yang haram tentunya disebabkan mendatangkan keburukan.  Manusia sendiri yang mencipta keburukan untuk diri mereka. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan setiap keburukan yang menimpa kamu itu dilakukan oleh tangan kamu sendiri.” (Surah as-Syura, ayat 30).

Ada pihak mengatakan shisha tidak haram kerana perbuatan itu berasal dari negara Ara, termasuk di Makkah.  Perlu diingatkan, tidak semua daripada negara Arab halal. Mereka juga manusia biasa yang melakukan kesilapan.


Islam dengan tegas melarang perbuatan mendatangkan keburukan sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa ayat ke 2 bermaksud: “Dan janganlah kamu cuba menukarkan yang baik-baik dengan yang buruk-buruk.”

Ada pihak menpersoalkan mengapa tidak ada fatwa haram merokok yang juga membahayakan kesihatan. Sebenarnya, mereka tidak sedar merokok juga telah difatwakan haram. Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan ke 37 pada 23 Mac 1995 telah memutuskan bahawa merokok adalah perbuatan haram di sisi agama Islam. Perbuatan itu wajib dijauhi setiap orang Islam.

Penggunaan shisha sama juga seperti rokok akan memberi kesan dan kemudaratan besar dari segi kesihatan ummah, pembangunan ekonomi negara serta pembentukan generasi akan datang.

Semua dapatan saintifik menerusi pelbagai kajian komprehensif yang dilakukan di negara ini mahupun di peringkat antarabangsa membuktikan shisha memberi kesan amat berbahaya dan penularannya amat membimbangkan, khususnya dalam kalangan remaja dan wanita.

Pengharaman shisha adalah berdasarkan nas syarak daripada al-Quran dan hadis serta kaedah fiqhiyyah dalam menentukan sesuatu hukum.  Pengharaman ini penting bagi memastikan lima perkara asas bagi manusia yang terkandung dalam maqasid syariyyah iaitu menjaga agama, jiwa, akal, keturunan dan harta dipelihara seperti tuntutan syarak.


Thursday, 20 November 2014

Kesahihan Maklumat Media Sosial

Kesahihan Maklumat Media Sosial
Media merupakan satu saluran yang dapat menyalurkan informasi dari sumber informasi kepada penerima informasi. Pada masa dahulu orang mengunakan majalah, surat khabar dan radio sebagai wadah utama dalam media tetapi sekarang pelbagai jenis teknologi lahir bagai cendawan tumbuh selepas hujan seperti komputer, telefon digital, dan media sosial.
Media biasa seperti surat khabar atau televisyen memberi limitasi kepada para pengguna kerana para pengguna sukar untuk memberi pendapat atau pandangan bebas terhadap sesuatu perkara yang disiarkan. Akan tetapi dengan adanya media sosial, para pengguna dengan mudah dapat melemparkan pendapat masing-masing dan dapat berkomunikasi ke seluruh dunia tanpa halangan.
Ini kerana teknologi komunikasi adalah satu aspek penting dalam pembentukan media. Tanpa teknologi komunikasi, maka proses media bekerja akan menjadi lambat dan tidak efisyen. Oleh sebab itu, media memainkan peranan penting dalam membentuk satu Negara yang kukuh dari segi ekonomi, politik dan social. Ini kerana, segala informasi yang dapat disalurkan dengan mudah dan cepat. Teknologi komunikasi kian maju sehingga timbul satu fenomena dalam industri media komunikasi yang dipanggil “Media Baru”.





Laman sosial ialah alat untuk berkongsi dan berhubung dengan sesiapa sahaja di seluruh dunia di alam maya. Pada masa kini, seseorang yang tidak memiliki akaun di laman sosial dikatakan ketinggalan zaman dan tidak mengikuti perkembangan teknologi semasa. Di antara laman sosial yang popular ialah Facebook, Twitter, Google+ dan MySpace.
Laman sosial ini bertambah popular kerana ianya boleh di akses di mana saja berada hanya dengan menggunakan telefon bimbit. Di sebalik keghairahan masyarakat kita menggunakan laman sosial, kita harus sedar tentang kebaikan dan keburukan menggunakan laman sosial ini. Setiap masyarakat kita mesti mengambil sikap secara serius tentang risiko-risiko yang bakal dihadapi hasil dari laman sosial ini.
Kemudahan melalui ICT sering disalahgunakan untuk kepentingan peribadi. Gejala utama yang selalu dikaitkan dengan teknologi ICT ialah penyebaran fitnah dan gossip oleh satu pihak bagi tujuan memburukkan, memalukan atau menjatuhkan pihak lain. Fitnah disebar menggunakan laman web internet, sms, mms dan media lain terutama di musim pilihanraya. Hal ini mencabar etika dan tatasusila hidup bermasyarakat dan bernegara. Menurut ajaran Islam, penyebaran fitnah adalah satu jenayah yang sangat besar. Fitnah memberi kesan terhadap maruah dan kedudukan seseorang individu serta keluarganya.
Kewujudan Internet, komputer dan juga telefon pintar menyebabkan ramai boleh jadi ‘wartawan’ dan penyebaran berita juga lebih pantas berbanding dulu. Kini ramai yang tidak pasti dengan kesahihan tentang sesuatu maklumat akan terus menyebarkan kepada orang ramai melalui media sosial.
Pengamal media memainkan peranan penting memastikan kesahihan setiap maklumat sebelum disampaikan kepada khalayak ramai. Jika sesorang itu menyebarkan sesuatu perkara yang salah mahupun fitnah tanpa menyiasat kesahihan berita tersebut mereka boleh berdepan dengan saman fitnah jika memburukkan imej individu tanpa bukti manakala jika menyebarkan berita tidak tepat mengenai kerajaan sehingga menyebabkan kekecohan mereka boleh ditahan di bawah Akta Hasutan.
Maklumat yang tepat dan benar kesahihannya adalah penting bagi menjamin tidak berlaku penyelewengan dan kepalsuan fakta. Terutama sekali dalam soal agama yang perlu dipastikan kebenarannya. Pihak yang tidak bertanggungjawab sentiasa mencari jalan bagi menyeleweng dan melakukan dusta bagi tujuan menyesatkan orang lain. Hal ini memberi cabaran terhadap proses tradisonal dalam mendapatkan maklumat yang sahih.
 Misalnya dengan hanya merujuk kepada bahan dari internet seperti al-Quran kemungkinan berlaku kesalahan fakta seperti ayat dari versi Israeliyat. Oleh itu seseorang perlu merujuk kepada sumber asal bagi mengesahkan maklumat dan mengelakkan kekeliruan. Kesan yang nyata dari amalan ini ialah ramai pencari maklumat mudah mempercayai bahan yang diperolehi dari internet. Rujukan maklumat semata-mata kepada internet tanpa pengesahan akan menimbulkan masalah tentang kebenaran fakta sesuatu maklumat.
Jueteru sesorang penulis berita perlu menghayati ajaran Islam yang menyatakan bahawa membuat fitnah itu lebih besar dosanya daripada membunuh manakala pembaca perlu menilai sebelum menyebar semula berita itu di laman Facebook atau Twitter. Pembaca harus memeriksa terlebih dahulu sumber maklumat yang diperoleh daripada Internet dan tidak sewenang-wenangnya menyebarkan maklumat itu, jika ada rasa was-was ini mungkin akan menyebabkan tersebarnya fitnah kepada orang ramai.
Penggunaan dan pengaruh dalam kehidupan masyarakat kini sudah tidak dapat dipisahkan dengan ICT dalam banyak aspek kehidupan. Bagi mengelak atau mengurangkan kesan negatif dan menghancurkan nilai-nilai positif agama dan budaya masyarakat kita serta menjamin survival nilai-nilai positif masyarakat, semua pihak dan dari berbagai peringkat mestilah memainkan peranan mengukuhkan nilai agama, moral dan etika masyarakat kita, khususnya bagi generasi muda bagi mengelak daripada kesan negatif yang akan semakin parah.

Justeru sesorang itu harus mengetahui kesahihan sesuatu media itu agar maklumat yang di sebarkan itu adalah benar dan tepat supaya ia tidak akan mengaibkan mana-mana pihak.