Monday, 1 December 2014

Cuti Sekolah Tiba LAgi...

Cuti sekolah tiba lagi. Ketika ini pelbagai ragam dan keadaan dialami pelajar dari 10,101 sekolah yang memulakan cuti semester akhir penggal persekolahan tahun 2014 selama 44 hari sejak minggu lalu.


Ketika ramai yang sudah mengemaskan beg sekolah masing-masing dan menutup buku lama. Ada yang gembira dan bersedih apabila sudah menerima keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 yang diumumkan pada 26 November di seluruh negara.

Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan sekalung tahniah kepada pelajar yang berjaya mencapai keputusan cemerlang 5A dan 7A dalam ujian itu. Kepada yang kurang menyerlah, usah bergundah-gulana kerana perjuangan belum selesai. Anda tetap boleh melanjutkan pelajaran di Tingkatan Satu pada tahun 2015 nanti.

Bercerita pengalaman cuti sekolah yang pernah saya lalui beberapa tahun lalu amatlah menarik untuk dikongsi bersama pelajar, guru dan ibu bapa kepada lebih 5,218,621 pelajar seluruh negara. Dulu lain, sekarang pula lain.

Kini, masa dan zaman sudah berubah. Ramai adik pelajar kita gemar menggunakan cuti semester untuk mencari pendapatan sampingan dengan menjadi pembantu jurujual di restoran, pasar raya, stesen minyak dan gerai menjaja makanan harian di kawasan kediaman mereka.

Usah dilupakan pesanan lebih 400,000 guru di sekolah rendah dan menengah kepada anak murid mereka akan kepentingan mengisi masa dengan tabiat bermanfaat musim cuti persekolahan.
Kini, dapatlah dilihat anak pelajar lebih proaktif, kreatif dan berketrampilan mengisi masa lapang sempena musim cuti sekolah. Ada yang mengambil kursus jangka masa pendek, kelas bahasa, kelas kemahiran dan kelas bidang perniagaan.

Sebaiknya, pelajar perlu bijak memilih dan merancang program bermanfaat sepanjang cuti persekolahan ini. Anda perlu mengikut nasihat guru yang amat berguna. Tambahan pula cuaca yang tidak menentu mengundang bencana alam seperti banjir dan kejadian yang tidak baik berlaku di beberapa kawasan dalam negara kita.

No comments:

Post a Comment